KUALA LUMPUR | Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur adalah satu bentuk pelanggaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan bersama menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid.
Katanya, Agong telah menitahkan supaya semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan usaha pemulihan keadaan negara.
“Berdasarkan kenyataan pihak Peguam Negara bertarikh 8 Julai dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan.
“Pemuda PN akan berikan dokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan Menteri Penuh dan lapan Timbalan Menteri dari UMNO terhadap Pelan Pemulihan Negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semua pihak wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, ia bagi mencapai Imuniti Kelompok (Herd immunity) dan membolehkan rakyat kembali meneruskan kehidupan seharian sepertimana biasa.
“Pemuda PN akan terus menjadi entiti semak-imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.
“Ia sewajarnya menjadi agenda utama setiap daripada kita. Hentikan politiking yang menyusahkan rakyat,” katanya.
Antara yang bersama mengeluarkan kenyataan tersebut Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua ARMADA Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR, Riza Johari; Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin dan Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen.