By Ismail Muhamad
JELI | Sebanyak 6,000 bakul makanan diagihkan di kawasan Parlimen Jeli bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, agihan bakul makanan itu diedarkan melalui saluran tiga peringkat iaitu Penghulu, masjid dan pemimpin masyarakat
Katanya, proses agihan bakul makanan di seluruh Parlimen Jeli akan selesai dalam tempoh seminggu.
“Bakul makanan tersebut adalah daripada peruntukan tambahan sebanyak RM300,000 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada setiap Ahli Parlimen di seluruh negara selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Bantuan bakul makanan diharap dapat membantu golongan kurang berkemampuan yang terjejas dengan pandemik Covid 19,” katanya pada program bantuan bakul makanan Parlimen Jeli di Kampung Berdang Ayer Lanas, di sini, hari ini.
Turut bersama menyampaikan bantuan bakul makanan itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub
Mustapa berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Jeli telah mengagihkan sebanyak 33,800 bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid 19 sejak Mac.
Menurutnya, program bantuan ini adalah berterusan daripada kerajaan, Pejabat Ahli Parlimen dan dermawan untuk memastikan setiap rakyat tidak tercicir atau tertinggal.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat masalah rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid 19, malah peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen untuk memastikan penyaluran bantuan dilakukan secara menyeluruh.
“Setiap Ahli Parlimen baik daripada kerajaan mahu pun pembangkang kena lupakan perbezaan fahaman dan tumpuan adalah untuk memastikan agenda membela rakyat,” katanya.