KUALA LUMPUR | Pesakit Covid-19 yang sudah pulih tidak perlu menunggu sehingga tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV).
JKJAV dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan di persidangan 8 Julai lalu.
Pakar menyatakan walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.
“Sehubungan itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus kini dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut janji temu yang telah diberikan.
“Namun begitu, bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 (anti-SARS-CoV-2 monoclonal antibodies) atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19 hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih dari jangkitan virus tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ia adalah langkah berjaga-jaga yang diambil setakat ini, sehingga terdapat maklumat tambahan, untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.
“JKJAV juga ingin menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun telah mempunyai janji temu atau sebagai pengiring.
“Mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik kelak,” katanya.