KUALA LUMPUR | Ketua Penerangan parti-parti Perikatan Nasional (PN) menghargai kesediaan kerajaan PN mengambil kira pandangan Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan persidangan Parlimen.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama berkata, kesediaan kerajaan menasihati Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan adalah satu langkah bijak untuk membolehkan penerangan yang tepat diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen.
“Kami juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan bahawa semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh YDP Agong, serta butiran mengenai Pelan Pemulihan Negara, akan dibentangkan.
“Kami berharap sidang parlimen khas ini dijadikan medan membincangkan kepentingan rakyat dengan sepenuhnya, dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat mingguan ketua Penerangan daripada parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Pihaknya juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ser Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan juga kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas perlantikan sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
“Kami menyokong perlantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kedua-dua tokoh ini adalah pemimpin berpengalaman serta berkebolehan untuk membantu memimpin negara.
“Kami mendoakan agar perlantikan ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat yang sedia ada antara parti-parti dalam kerajaan, dalam kerangka kita sebagai sebuah kerajaan yang telus, bebas rasuah, dan berintegriti,” katanya.
Turut bersama dalam kenyataan tersebut, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Kamaruzaman Mohamad (PAS); Chin Vui Kai (SAPP); Jeffrey Kumin (STAR); Koo Shiaw Lee (GERAKAN); Datuk V Gunalan (MIC); Chan Quin Er (MCA); Khairin Bador (PBRS); Yong Li Na (PDP); Datuk Julita Majungki (PBS); Datuk Idris Buang (PBB); Datuk Wilfred Nissom (PRS) dan Adam Yii, Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat (SUPP).