SHAH ALAM | Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara fizikal yang bermula pada 1 Julai lalu.
JAIS menerusi laman Facebooknya memaklumkan, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).
Katanya, pasangan yang dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah adalah yang sudah mendapat tarikh temu janji daripada JAIS dan PAID.
“Kehadiran terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir, termasuk jurugambar.
“Pasangan mesti mendapat kebenaran berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan ujian saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah
“Pengantin dan wali wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) daripada waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.
Katanya, jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan.
“Tindakan akan diambil jika terdapat mana-mana individu atau pihak yang didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.