KOTA BHARU | Kerajaan Negeri Kelantan akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata, Datuk Ahmad Yakob mengambil perhatian sepenuhnya berikutan penahanan bekas Pengurus Besar dan pegawai AKSB bagi membantu siasatan kes itu.
“Kerajaan negeri akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya melalui AKSB kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
“Dalam pada itu, prinsip ‘tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah’ perlulah sentiasa dipegang.
“Semua pihak hendaklah memberi kepercayaan penuh kepada siasatan yang sedang dibuat oleh SPRM dan tidak mendahului SPRM dalam hal ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.