KUALA LUMPUR | Setakat ini kerajaan telah membelanjakan RM3.5 bilion untuk pembelian vaksin untuk rakyat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga menambah peruntukan sejumlah RM1 bilion di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH.
Menurutnya, Pakej PEMULIH untuk mempercepat proses vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) COVID-19 juga telah melaporkan bahawa lebih 17.6 juta individu telah mendaftar dengan lebih 7.4 juta mendapat dos pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPV UM) di Bangsar, KL untuk meninjau operasi dan mendapatkan input mengenai pelaksanaan proses pemberian vaksin.
Di samping itu beliau juga menyampaikan sumbangan makanan kepada frontliners yang bertugas.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas dari pengarah operasi, PPV UM kini beroperasi 7 hari seminggu dan berkapasiti untuk memberi suntikan vaksin kepada 3,000 individu per hari.
Katanya, setakat 9 Julai, seramai 110,000 telah divaksin di PPV berkenaan.
“Saya juga telah bertemu beberapa dari mereka yang hadir untuk temu janji vaksinasi mereka, dan Alhamdulillah semuanya lancar dan efisien untuk mereka.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam inisiatif ini, terutamanya frontliners yang bertugas di seluruh negara,” ujarnya.
Katanya, imuniti kelompok hanya boleh dicapai dengan kerjasama antara pihak Kerajaan dan rakyat.
“Saya berharap kerjasama ini dapat terus dipertingkatkan lagi demi kesejahteraan kita semua,” katanya.
⠀
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sila layari https://www.vaksincovid.gov.my. ⠀