SENTUL | Polis mengesahkan menerima dua laporan polis berkait pecah cermin kereta yang viral di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, berkata pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 26 tahun pada 5 Julai jam 10.02 malam.
Katanya, pihaknya juga turut menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 36 tahun pada 6 Julai jam 11.28, pagi.
“Menurut laporan dari pemandu kereta Axia (wanita) semasa dia sedang menghentikan kereta yang dipandunya jenis Perodua Axia warna silver di lampu isyarat Kampung Batu Muda Kuala Lumpur, sebuah motovan warna jingga tulisan Shopee nombor pendaftaran tidak pasti telah menghimpit kenderaannya dan seorang lelaki Melayu yang merupakan pemandu motovan tersebut telah bertindak mematahkan cermin sisi kereta pemandu Axia tersebut.
“Oleh kerana tidak berpuas hati, pemandu kereta Axia telah mengekori motovan tersebut dan bertindak membunyikan hon untuk berhenti dan berbincang namun tidak diendahkan.
“Oleh kerana tidak berpuas hati, pemandu kereta Axia tersebut telah bertindak menghalang laluan motovan tersebut dan bertindak memecahkan cermin motovan menggunakan kunci stereng,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, walau bagaimanapun, laporan polis yang dibuat lelaki terbabit menafikan kejadian tersebut.
Katanya, kejadian perselisihan itu adalah berpunca daripada tindakan pemandu kereta Axia yang telah membuat pusingan U secara tiba-tiba.
“Ekoran itu, pemandu van Shoppe telah bertindak membunyikan hon untuk menegur perlakuan pemandu kereta Axia tersebut.
“Oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu motovan tersebut, pemandu kereta Axia telah bertindak mengejar motovan Shoopee dan secara tidak sengaja telah bergesel sesama sendiri.
“Akibat dari perlakuan ini, kedua-dua pemandu tersebut telah berselisih faham dan pemandu kereta Axia bertindak mengetuk cermin motovan Shoppe menggunakan kunci stereng hingga menyebabkan cermin motovan itu retak,” katanya.
Eng Lai berkata, pihak polis telah mengesahkan kedua-dua kejadian ini dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat). Kini kedua-dua kes tersebut masih lagi dalam siasatan lanjut pihak polis.
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu- individu yang ingkar. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi,” katanya.