LUMUT | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang melakukan aktiviti perikanan di kawasan zon B dan melanggar syarat sah lesen, di 8.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak di sini, kelmarin.
Bot berkenaan ditahan pada jam 10 malam menerusi rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang meronda mengesan bot yang mencurigakan di perairan Pulau Jarak.
Katanya, pemeriksaan mendapati bot bot kelas C dikendalikan lima kru termasuk tekong dan disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan di kawasan terlarang zon B dengan tidak mematuhi syarat sah lesen.
“Lima kru termasuk tekong berusia antara 26 hingga 40 tahun disyaki warga Myanmar didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan dan penggeledahan.
“Berikutan itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan jika disabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (B) iaitu melanggar syarat sah lesen,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, semua kru dan tekong, bot serta hasil tangkapan ikan dianggarkan 80 kilogram diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan Perak bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut walaupun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.
“Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya.