KOTA BHARU | Berhenti salahkan Kerajaan apabila kes Covid-19 semakin naik, sebaliknya seranah lah diri sendiri yang tidak reti-reti mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).
Itulah yang berlaku di Kelantan apabila 29 individu sedang makan dan asyik menghisap shisha di sebuah restoran.
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam satu kenyataan berkata mereka ditahan ketika pihaknya menjalankan Ops Pemantauan Pematuhan SOP bersama PDRM pada 7 Julai lalu.
Ketika Ops tersebut, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Kampung Chicha, Jalan Pasir Puteh.
“Dalam pemantauan tersebut mendapati 29 individu sedang makan dan menghisap shisha di dalam premis.
“Kesemua yang berada didalam premis dikompaun mengikut Akta 342 kerana makan di dalam premis (Dine In),” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, penguatkuasa MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik restoran kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Pihaknya juga turut menyita 15 botol shisha, empat tong gas dan peralatan menghisap shisha.
“Sehingga kini MPKB-BRI sudah memeriksa 392 premis menerusi OPS Pemantauan Pematuhan SOP.
“Antara premis yang diperiksa melibatkan 175 premis penjaja, restoran (168), pasar awam (19) pasaraya (15) dan bank (15).
Dalam 392 premis yang diperiksa, hanya satu premis yang diberikan notis amaran supaya tidak menjalankan aktiviti perniagaan dikawasan larangan.
“Pihak Majlis mengharapkan agar masyarakat sentiasa patuh kepada arahan untuk duduk dirumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid19,” katanya.