By Ismail Muhamad
JELI | Kerajaan Malaysia bukan negara yang gagal seperti dakwaan Bloomberg kerana pentadbiran awamnya berjalan dengan baik dan lancar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, fungsi pentadbiran awam negara ini terus berjalan seperti biasa.
Katanya, tumpuan kerajaan adalah memastikan urus tadbir negara yang cekap dan terus berjalan lancar termasuk dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara bagi menangani pandemik Covid 19.
“Setiap Ahli Parlimen baik daripada kerajaan mahu pun pembangkang terus berfungsi dan mampu menjalankan tugas walaupun Parlimen tidak bersidang.
“Kita lihat dan dapati pentadbiran awam negara antaranya polis, tentera dan penjawat awam lainnya serta institusi kewangan berfungsi dan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program penyampaian bantuan bakul makanan kepada golongan mereka yang terjejas akibat Covid 19 kawasan Parlimen Jeli di Kampung Berdang Ayer Lanas di sini, hari ini.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kerajaan lebih terbuka dalam menerima pandangan, teguran dan kritikan yang membina dalam usaha bersama-sama membantu negara berjaya menangani setiap cabaran dan krisis ekonomi serta kesihatan rakyat.
Menurutnya, sekiranya negara ini dikatakan gagal, sudah tentu fungsi pentadbiran awam, institusi kewangan dan politik sudah lumpuh.
“Kerajaan berusaha meletakkan negara ini dalam kedudukan terbaik dan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan dan teguran mana-mana pihak.
“Sekiranya benar Malaysia gagal, sudah tentu sistem pentadbiran dalam negara kita lumpuh.
“Pentadbiran awam kita masih berfungsi dengan baik seperti Kementerian Kesihatan, polis, tentera dan lain-lain penjawat awam dan ianya menunjukkan dakwaan pihak berkenaan adalah tidak benar,”katanya.
Katanya, kerajaan melantik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ianya menunjukkan kesungguhan kerajaan meningkatkan ekonomi negara selain menangani pandemik Covid 19.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya mengetepikan fahaman atau perbezaan politik sebaliknya memberi fokus untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.
Laporan Bloomberg mendakwa, Malaysia berada pada tangga corot dalam senarai kemajuan 53 negara membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik COVID-19.