KUALA LUMPUR | Polis sedang mengesan seorang wanita yang menyusup masuk ke kawasan dikenakan PKPD di sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada semalam.
Berdasarkan video yang tular di media sosial itu, wanita berkenaan menyusup masuk di celahan kawat berduri di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, wanita itu disyaki menetap di Puchong dan dipercayai masuk ke dalam kawasan PKPD untuk menziarahi neneknya.
“Usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati video berdurasi lebih kurang 30 saat itu menunjukkan seorang wanita menyusup masuk seorang diri ke dalam kawasan PPR tersebut melalui pagar berduri.
Sementara itu katanya, saksi awam yang memuat naik video berkenaan di media sosial mengaku merakamkan video ini pada Jumaat sekitar jam 6.15 petang.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mewujudkan kegusaran orang awam dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Maklumat lain berkaitan jenayah katanya, boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.