KOTA KINABALU | Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan keputusan untuk membenarkan makan di restoran, kedai makan, dan restoran dalam premis hotel.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, arahan itu sudah berkuatkuasa 29 Jun lalu.
“Ini pendirian kita,” katanya ringkas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Pada 28 Jun lalu, Kerajaan Sabah membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi semula bermula Selasa dan akan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa pertama bermula Selasa.
Bagaimanapun, Hajiji berkata, PPN itu dilaksanakan dengan mengekalkan sebahagian besar proosedur (SOP) Sabah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya ‘dine-in’ di restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel, membuka gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya dan kedai gunting rambut.
Sabah masuk PPN fasa kedua bermula hari ini selepas diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menyatakan aktiviti restoran, cafe, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.