JELI | Seorang suami dan juga bapa lima anak buntu memikirkan perbelanjaan harian serta kos untuk rawatan isterinya yang menghidap kanser payudara tahap empat.
Rosdi Mohd Noor, 47, berkata, pendapatan bulanannya berjumlah RM732.32 sebagai pekerja am di ladang kelapa sawit di Kuala Balah tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.
Bayangkan, perbelanjaan untuk rawatan isterinya, Nor Aziyan Husin, 49, sahaja sudah mencecah RM600 sebulan itu termasuk lampin pakai buang dan ubatan kerana dia terlantar.
“Jumlah ini tidak termasuk sewa rumah lagi dan perbelanjaan sekolah anak-anak. Sewa rumah RM70 sebulan. Berapalah baki yang ada,” katanya.
Katanya, seorang anaknya masih belajar di universiti, dua lagi di sekolah menengah manakala seorang di sekolah rendah.
Ujarnya, jika sebelum ini anak sulongnya juga turut membantu tetapi terpaksa berhenti kerja di Klang dan balik ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit.
Rosdi juga meluahkan kerisauan kerana pada minggu hadapan isterinya perlu berjumpa dengan pakar di hospital Universiti Sains Malaysia yang sudah tentunya memerlukan duit belanja.
Walaupun sedikit, namun dalam keadaan sekarang ia sangat besar nilainya buatnya untuk ke HUSM dan juga berulang alik mengambil ubat di Hospital Tanah Merah, apatah lagi memikirkan tahap kesihatan isterinya.
Kesukaran hidup keluarga Rosdi mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Bagi meringankan beban keluarga itu, MAIK diwakili Imam Tua Masjid Sultan Muhammad 1 Bandar Jeli, Abdul Muhaimin Yahya tampil menghulurkan bantuan segera wang tunai dan bekalan makanan.
Journal Malaysia mendoakan agar Rosdi diberikan ketabahan untuk mengharungi ujian dan diberikan kesembuhan terhadap isterinya.