PUTRAJAYA | Seramai 417 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Patuh yang dilaksanakan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 408 individu dikenakan kompaun manakala sembilan lagi direman.
“Kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, makan, minum di premis mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 96 kes diikuti tidak memakai pelitup muka (74), tiada penjarakan fizikal (58), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (46), dan beberapa lagi.
“Taks Force Op Patuh telah melakukan 85,123 pemeriksaan semalam. Ia melibatkan 4,349 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,891 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, menerusi Op Benteng pula, telah berjaya menangkap dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, pihaknya juga turut merampas dua buah kenderaan darat dan dua bot.
“Dalam operasi itu, sebanyak dua buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.
“Op BENTENG melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 950 Sekatan Jalan Raya (SJR).