By Ismail Muhamad
JELI | Penduduk kurang berkemampuan menyuarakan rasa terharu dengan keperihatinan kerajaan dalam membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid 19.
Seorang penerima bantuan, Zawawi Zakaria, 41, dari Kampung Berdang, berkata, dia bersyukur kerana menerima bakul makanan yang disediakan kepada mereka yang kurang berkemampuan di kawaasan Parlimen Jeli.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) akibat peningkatan kes harian Covid 19 menyukarkan mereka terutama yang bekerja sendiri atau gaji berdasarkan upah harian.

“Memang terkesan dengan keadaan sekarang kerana kekangan pergerakan sejak PKP 3.0 dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Saya berterima kasih kerana menerima bantuan bakul makanan peringkat Parlimen Jeli yang diagihkan kepada penduduk di sekitar Kampung Berdang hari ini, ” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan bakul makanan peringkat Parlimen Jeli di Kampung Berdang Ayer Lanas, di sini, hari ini.
Program penyampaian bantuan itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.
Seorang lagi penduduk, Rosdi Talib, 42, berkata, pemberian bantuan berupa barangan makanan dapat menjimatkan belanja dapur untuk dirinya.
Dia berkata, dalam keadaan terkesan dengan pandemik Covid 19, bantuan seumpama ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan yang prihatin dalam membantu penduduk seperti saya yang turut terkesan dalam keadaan pandemik Covid 19 ketika ini.
“Dalam keadaan seperti ini, bantuan yang dihulurkan begitu bermakna bagi penduduk di Kampung Berdang,” katanya.