by Nor Shazleza Shahril
RANTAU PANJANG | Seorang lelaki bertindak terjun ke Sungai Golok untuk ke seberang Thailand dengan meninggalkan lima kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM12,500 dalam kejadian di pangkalan haram Pos Man, di sini, jam 8 malam tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika kejadian anggota membuat rondaan bermotosikal sebelum melihat seorang lelaki berada di bawah pondok bersama sebuah kotak dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki berkenaan bertindak terjun ke sungai sebelum anggota membuat pemeriksaan pada kotak dan menemui kesemua ganja serta picagari dipercayai milik suspek.
“Kesemua dadah ini disyaki diseludup daripada negara jiran, Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan. Kegiatan berkenaan dilakukan pada waktu malam di kawasan yang agak gelap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Anggota kemudian membawa kesemua barangan rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 menangkap seorang pengedar dadah yang dipercayai memiliki syabu, pil kuda dan daun ketum bernilai RM650 di Jalan Padang Majlis Tempatan, di sini, semalam.
“Dalam kejadian jam 6.30 petang, anggota membuat serbuan ke rumah suspek lelaki berusia 49 tahun yang ketika itu berada di dalam salah sebuah bilik.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di bilik berkenaan menemui kesemua dadah dan air ketum terbabit termasuk wang tunai bernilai RM1005 disyaki hasil jualan barangan terlarang.
“Kesemua barangan dirampas serta suspek ditahan untuk dibawa ke IPD Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) , Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.