CASABLANCA | Wartawan Maghribi, Soulaimane Raissouni semalam dihukum penjara lima tahun kerana melakukan serangan tidak senonoh terhadap seorang lelaki.
Raissouni, yang mogok lapar selama 93 hari, tidak hadir di mahkamah.
Lelaki 49 tahun itu ditahan sejak Mei tahun lalu selepas seorang aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menuduhnya melakukan serangan tidak senonoh, yang dinafikannya.
Raissouni adalah ketua pengarang akhbar Akhbar Al Yaoum yang kini sudah tidak beroperasi.Penyokongnya berkata, kes itu adalah sebahagian daripada kempen fitnah terhadap wartawan dan aktivis, tetapi Maghribi menegaskan badan kehakimannya adalah bebas.
Hakim Selasa lalu memerintahkan Raissouni untuk hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan itu.
Wartawan itu berkata, dia hanya akan hadir di mahkamah jika dibawa dengan ambulans dan dilengkapi dengan kerusi roda.
Peguamnya Miloud Kandil, mempersoalkan bagaimana anak guamnya boleh dihukum tanpa kehadiran beliau.
Raissouni memulakan mogok lapar pada April lalu dengan menuntut untuk dibebaskan sementara, bagaimanapun semua permintaannya untuk dibebaskan ditolak sejak penahanannya tahun lalu.
Raissouni berkata, dia kehilangan berat badan lebih 35 kilogram sejak memulakan mogok lapar kerana ketidakadilan dalam penahanannya.
Perbicaraannya bermula pada Februari lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali.
Mahkamah Maghribi menolak semua permintaannya untuk dibebaskan, walaupun ada tekanan melalui kempen di Maghribi dan di luar negara.