KOTA BHARU | Seramai 180 pegawai dan anggota ditugaskan di enam lokaliti di Kelantan yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, enam lokaliti itu ialah dua di Pasir Puteh dan masing-masing satu di Kota Bharu, Kuala Krai, Machang serta Pasir Mas.
Katanya, bagi membendung penularan COVID-19, pegawai dan anggota yang bertugas iaitu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Anggota ini membuat kawalan dalam tempoh 24 jam untuk mengawal laluan sekali gus mengelakkan penduduk keluar masuk dari kawasan PKPD,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Pelaksanaan PKPD dua taman itu bermula Jumaat sehingga 22 Julai ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Beliau berharap semua penduduk termasuk mereka yang berada dalam kawasan PKPD mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19.