KUALA LUMPUR | Kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang belum berputus asa, sebaliknya terus berjuang walaupun berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 sehingga tidak cukup katil untuk menempatkan pesakit.
HTAR menerusi laman Facebooknya memaklumkan dengan bilangan kes harian di Selangor mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda yang baik bagi HTAR.
Katanya, kes harian yang hadir ke Jabatan Kecemasan juga turut meningkat dengan mendadak sehingga tiada katil untuk menempatkan pesakit-pesakit ini.
“Gandingan pimpinan tertinggi HTAR dan semua ketua jabatan atau unit yang berani membuat percaturan setelah semua penilaian risiko dianalisa.
“Beberapa kawasan telah diubah fungsi menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit COVID-19 dan dapat menampung keperluan sementara situasi lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR,” katanya.
Menurutnya, di antara kawasan yang telah dijadikan tempat rawatan pesakit COVID-19 adalah asrama doktor pelatih dan kompleks rawatan harian.
“Kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit COVID-19 bermula jam 8 malam 9 julai.
“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang bertungkus-lumus dan bersedia menghadapai krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan,” katanya.