by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memohon untuk pengeluaran i-Citra yang akan dibuka mulai esok.
KWSP memaklumkan permohonan itu boleh dibuat melalui laman sesawang icitra.kwsp.gov.my.
Katanya, bagi permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP) dan mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran terbabit.
“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2.
“Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran iaitu sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.
i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.
Untuk maklumat lanjut mengenai i-Citra serta cara membuat permohonan, pencarum boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP di laman sesawang www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-89224848.