JOHOR BAHRU | Kegagalan sistem kemudi disyaki menjadi punca berlakunya pelanggaran dua buah kapal di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar di sini, tengah malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bagaimanapun kru kedua-dua kapal selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Katanya, kapal MT Galapagos yang berdaftar dari Malta dilaporkan telah mengalami kegagalan sistem kemudi dan bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memotong MT Galapagos itu.
“MV Zephyr Lumos yang berdaftar dari Great Britain telah gagal untuk mengelak himpitan daripada MT Galapagos dan berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal.
“MV Zephyr Lumos membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez dan dilaporkan telah terlanggar kapal MT Galapagos yang dalam pelayaran ke India di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar.
“Kru kedua-dua kapal dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal oleh Bot Kilat Maritim Negeri Johor ke atas kerosakan badan MT Galapagos mendapati terdapat tompokan tumpahan minyak.
Katanya, kedua-dua kapal terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut oleh Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.