By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bersetuju nembuat penangguhan dan penjadualan semula bayaran balik skim pinjaman ekonomi KESEDAR kepada seramai 387 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM426,000,
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KESEDAR juga bersetuju mengecualikan bayaran sewaan premis kepada 207 penerima manfaat dengan implikasi kewangan berjumlah RM435,000.
Katanya, langkah itu bagi membantu penerima manfaat yang berdepan masalah kewangan akibat pandemik Covid 19.
“Ini menjadikan jumlah penerima manfaat hasil usaha KESEDAR membantu masyarakat Kelantan Selatan membabitkan seramai 594 orang dengan jumlah implikasi kewangan sebanyak RM861,000.
“KESEDAR turut mengagihkan bakul makanan kepada seramai 721 peserta membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM37,100,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program vaksinasi Pusat Komuniti Desa (PKD) Paloh 2 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, langkah yang dilaksanakan itu menunjukkan kesepakatan KESEDAR dalam membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid 19.
Katanya, kerajaan ingin memastikan rakyat di Wilayah Gua Musang ini dapat dibela.
“KESEDAR juga menggerakkan 58 kakitangan membantu pendaftaran vaksin sejak awal Julai lalu.
“Sehingga 9 Julai lalu, seramai 2,890 orang dalam kawasan operasi KESEDAR berjaya didaftarkan,” katanya.