By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Sebanyak 50 peratus daripada 144,180 masyarakat Orang Asli yang layak menerima vaksin Covid 19 di negara ini bersetuju untuk mendapatkan suntikan berkenaan.
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peringkat awal seramai 6,000 masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk mendapatkan vaksin Covid 19.
Bagaimanapun katanya, kesedaran itu terus meningkat kepada 38,000 orang hasil daripada program penerangan dan pengemblengan tenaga bersama agensi kerajaaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, sehingga petang semalam, seramai 15,366 masyarakat Orang Asli di negara ini sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid 19.
“Kita dapati jumlah Orang Asli yang bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid 19 terus meningkat dan ini satu perkembangan yang positf di kalangan masyarakat berkenaan.
“Masyarakat Orang Asli kini tidak lagi takut untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana mereka sudah ada kefahaman yang jelas mengenai kepentingan berkenaan untuk diri dan keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Program Imuninasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) di Dewan Jubli Perak, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, hari ini.
Seramai 230 masyarakat Orang Asli dari kawasan Kuala Betis di sini, mendaftar dan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid 19.
Abdul Rahman berkata, pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat Orang Asli akan terus meningkat pada masa terdekat berdasarkan bekalan dos dibekalkan kerajaan.
Katanya, penerimaan masyarakat Orang Asli terhadap suntikan vaksin yang tinggi menunjukkan mereka sudah memahami tanggungjawab untuk melandaikan penularan Covid 19 di kawasan perkampungan itu.
“Langkah kita mendapatkan keyakinan di kalangan Komuniti Orang Asli iaitu ketua mereka seperti Tok Batin berjaya memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan serta kefahaman kepada masyarakat berkenaan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya yakin program pemberian vaksin termasuk secara bergerak iaitu Outreach dapat meningkatkan jumlah masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan suntikan berkenaan secara menyeluruh,” katanya.