SUBANG JAYA | Polis sedang memburu seorang lelaki berbangsa India atas kesalahan merempuh kenderaan unit peronda polis (MPV) sebelum melarikan diri di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.25 malam semalam, lelaki yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback warna kelabu dan nombor pendaftaran WEK424 dalam keadaan mencurigakan di sekitar Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, ketika pemeriksaan cuba dibuat, kenderaan tersebut telah mengundur dengan laju sehingga melanggar kenderaan MPV.
Katanya, susulan itu anggota MPV tersebut bertindak mengejar dan berjaya menyekat kereta terbabit di susur keluar Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
“Suspek sekali lagi mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan MPV untuk kali kedua. Pelanggaran kali ini menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak.
“Suspek berjaya melarikan diri bersama kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Khalid berkata, pihaknya melakukan hebahan untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan tangkap suspek.
Katanya, bagaimanapun, anggota yang teribat dalam kejadiaan ini tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK)(Cubaan membunuh), Seksyen 186 KK (Menghalang penjawat awam), Seksyen 188 KK (Mengingkari perintah oleh penjawat awam) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (Memandu secara melulu).
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang digunakan oleh suspek pernah diaporkan hilang pada 21 Jun lalu di Batu 9, Cheras.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A KK. Sehingga kini, kenderaan tersebut masih belum dijumpai,” katanya.
Pihak polis ingin memohon kerjasama dari orang awam sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini atau kenderaan yang digunakan oleh suspek, sila salurkan kepada pihak polis melalui nombor teleforn 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya).
Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.