KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) setuju memberi kebenaran kepada pihak masjid bandar, jajahan, mukim menambah tempat sembelihan ibadat korban di satu lokasi lain.
Yang di-Pertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Abdul Aziz berkata, bagaimanapun kawasan yang dicadangkan tersebut mesti dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan dan mukim.
“Lokasi sembelihan mestilah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Ibadah Korban dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di Negeri Kelantan yang telah ditetapkan.
“Sembelihan hendaklah diadakan di dalam kawasan yang berpagar dan mempunyai keluasan yang mencukupi (sekurang-kurangnya 10 meter persegi), selain itu tapak penyembelihan juga mestilah sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam).
“Jumlah maksima sembelihan korban hendaklah tidak melebihi lima ekor lembu sehari dan 20 ekor dalam tempoh empat hari (20 hingga 23 Julai) dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendapati ada masjid yang tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
Katanya, ada beberapa masjid tidak dapat mematuhi SOP pelaksanaan ibadag korban dalam tempoh PKP 3.0
“Ada masjid yang tidak mempunyai kawasan berpagar serta keluasan kawasan yang kurang
daripada 10 meter persegi.
“Selain itu, terdapat banyak masjid yang mendapat permohonan sembelihan korban melebihi 20 ekor dalam tempoh empat hari,” katanya.
Beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19.
Terdahulu, MAIK hanya membenarkan ibadah korban dilaksanakan di rumah sembelihan ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di tiga buah jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.
Selain itu, masjid bandar, jajahan dan mukim dengan kelulusan MAIK dan aktiviti korban persendirian serta keluarga adalah tidak dibenarkan.