PUTRAJAYA | Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan BRB Holding (BRB), sebuah syarikat antarabangsa Turki dalam usaha menjalinkan kerjasama berkaitan industri dedak isirung sawit.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata tersebut pemeteraian MOU disaksikan oleh Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam.
Melalui memorandum persefahaman ini, BRB yang ditubuhkan pada tahun 1994 akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran makanan haiwan berasaskan sawit dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan pasaran Eropah terpilih.
“Dalam hal ini, kedua-dua pihak akan memperincikan kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan seperti mana dipersetujui.
“Selain itu, MPOC juga akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai faedah tekno-ekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui penganjuran seminar serta kesedaran mengenai kelebihan produk PKC kepada sektor ruminan Turki,” katanya.
MPOC diwakili Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasaran, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRB oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Harun Macit. Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kernenterian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli.
Menurut kenyataan itu lagi, PKC mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos.
Berdasarkan kajian, penyediaan makanan haiwan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding rumusan konvensional.
“Kelebihan dari sudut penjimatan kos dijangka akan melonjakkan industri ini. Dari Januari hingga Mei 2021, eksport PKC ialah sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000.
“Berdasarkan kajian, purata eksport PKC adalah dianggarkan 2.4 juta tan setahun. Namun, pada tahun 2020, Malaysia telah mengeksport sebanyak 2.6 juta tan. Manakala, pasaran tempatan memerlukan bekalan sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara,” katanya.
KPPK berharap agar usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPOC dengan kerjasama agensi berkaitan dapat membantu perkembangan industri PKC negara dan seterusnya melonjakkan industri tersebut.