By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid 19 menunjukkan mereka tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin.
Tok Batin dari Kampung Melong Kuala Betis, Ibrahim Marjeh,64, yakin kefahaman jelas diberikan kerajaan dapat mengelakkan masyarakat Orang Asli menolak suntikan vaksin kepada mereka.
Katanya, program vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli dapat mempercepatkan pemberian suntikan vaksin kepada mereka berkenaan di RPS Kuala Betis.
“Saya sendiri sudah mendaftar 100 penduduk Orang Asli untuk hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin pada hari ini.
“Program vaksinasi komuniti Orang Asli yang diadakan oleh kerajaan dapat menyegerakan proses pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat berkenaan supaya lebih ramai tampil mendaftar,” katanya ketika ditemui pada program vaksinasi komuniti Orang Asli di Dewan Jubli Perak, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, hari ini.
Seramai 230 masyarakat Orang Asli dari kawasan RPS Kuala Betis hadir dan mendaftar untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid 19.
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad turut meninjau proses pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli pada program berkenaan.
Majlis penyerahan bakul makanan turut diagihkan kepada masyarakat Orang Asli yang mendaftar dan menerima suntikan vaksin Covid 19.
Tok Batin dari Pos Blau, Salleh Angah,58, berkata, kehadiran Orang Asli ke program vaksinasi ini membuktikan semakin ramai di kalangan masyarakat berkenaan sudah memahami kepentingan suntikan vaksin.
Dia berkata, sudah ramai masyarakat Orang Asli mendaftar untuk mendapatkan vaksin dan program bergerak yang diadakan kerajaan memberi banyak kemudahan kepada mereka.
“Proses mendaftar vaksin Covid 19 mudah dan temu janji untuk suntikan dipercepatkan kepada masyarakat Orang Asli di Kuala Betis.
“Hari ini kami datang untuk dapatkan suntikan vaksin dan sebagai Tok Batin kena tunjuk contoh yang baik untuk masyarakat Orang Asli yang belum berbuat demikian,” katanya.
Harina a/p Basaid, 25, dari Cameron Highlands berkata, dia datang dari jauh untuk dapatkan suntikan vaksin.
Katanya, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin yang diadakan di RPS Kuala Betis hari ini.
“Terima kasih kepada kerajaan sediakan kemudahan untuk masyarakat Orang Asli dapatkan suntikan vaksin.
“Saya harap lebih ramai masyarakat Orang Asli dapat daftar untuk suntikan vaksin,” katanya.