KOTA BHARU | Pelupusan hutang Felda dan penyusunan semula Felda menunjukkan bahawa kerajaan pada hari ini sangat prihatin kepada warga Felda.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pelupusan sebahagian hutang pinjaman peneroka Felda yang berjumlah 8.3 bilion itu adalah perkara yang sangat baik.
Katanya, ianya membabitkan 80 peratus daripada warga Felda generasi awal yang keseluruhannya berjumlah 112,000 orang.
“Kesan daripada pelupusan hutang itu, kita melihat bahawa bebanan hutang peneroka berkurangan dengan banyak. Kalau dulu peneroka perlu bayar anyara RM800 hingga RM1,000, namun sekarang hanya baya antara RM250 hingga RM300 sebulan.
“Pengurangan ini cukup besar dan ia adalah berita yang sangat baik kepada peneroka.
“Harga pasaran sawit sekarang juga meningkat dan berada pada tahap yang tinggi. Ianya secara tidak langsung meningkatkan punca pendapatan peneroka Felda.
“Peningkatan harga sawit ini membolehkan peneroka Felda menarik nafas lega,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu berkata, sebelum ini, peneroka Felda banyak terkesan kerana harga sawit murah, pembayaran balik hutang yang tingi dan harga saham FGV Holdings Berhad (FGV) yang turun.
Katanya, dahulu saham FGV yang dibeli peneroka pada harga RM4.55 bagi satu unit saham dan pernah turun sehingga ke paras 75 sen seunit serta sekarang meningkat kembali kepada RM1.34.
“Selain itu, cadangan penyusunan semula Felda melibatkan pengeluaran sukuk bernilai RM9.9 bilion di mana tujuan itu akan beri ruang untuk Felda susun semula kesemua kegiatan ekonomi dan bawa Felda ke tahap stabil.
“Langkah perkara itu, Felda mula membeli balik saham FGV dan kini Felda adalah pemegang saham terbesar FGV dengan nilai melebihi 80 peratus.
“Ianya akan memberi kesan yang lebih baik dan akan kukuhkan Felda pada masa yang panjang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan kerajaan bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 peneroka.