KOTA BHARU | Pengiktirafan suntikan vaksin COVID-19 di kalangan jemaah haji oleh kerajaan Arab Saudi akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) untuk melakukan rundingan dengan kerajaan Arab Saudi berhubung isu itu.
Katanya, pihaknya percaya isu itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Bagi menyelesaikan isu itu, MOSTI akan berunding dengan kerajaan Arab Saudi. Insya-Allah, kerajaan Arab Saudi akan menerima semua vaksin yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Semua vaksin yang dibekalkan kepada Malaysia juga diiktiraf oleh WHO,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Sering di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai tiga keluarga asnaf yang mendapat bantuan termasuk untuk membina rumah kepada sebuah keluarga dengan menggunakan dana Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Media sebelum ini melaporkan, kesepakatan perlu ada dalam menentukan dasar imigresen susulan kepelbagaian penggunaan vaksin COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia perlu bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
Arab Saudi sebelum ini menetapkan hanya jemaah yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan haji.
Pada perkembangan yang lain, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua jemaah haji dengan lebih awal bahawa mereka tidak dapat menunaikan haji tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 tahun ini.
Katanya, semua jemaah haji dapat menerima berita itu dengan berlapang dada.
“Alhamdulillah, mereka dapat menerima berita itu dan pada masa yang sama kita turut memberi semangat kepada mereka,” katanya.