KUALA LUMPUR | Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ‘benteng pertahanan terakhir’ negara dalam perang melawan pandemik COVID-19.
KKM memaklumkan, seluruh negara meletakkan harapan yang tinggi kepada petugas barisan hadapan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 daripada terus merebak.
“Walaupun dalam kepenatan, semua petugas diminta agar terus cekal dan bersemangat menjalankan tugas bagi mempertahankan ‘benteng pertahanan terakhir’ daripada roboh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga meminta orang ramai membantu petugas KKM dengan memastikan diri dan keluarga tidak dijangkiti COVID-19.
Katanya, peningkatan kes baharu sudah dijangka kerana saringan besar-besaran di kawasan komuniti berisiko tinggi di Lembah Klang dan KKM telah bersiap sedia berhadapan pertambahan pesakit yang perlu dirawat di hospital terutama di Lembah Klang.
“Sebahagian besar pesakit COVID-19 adalah dari kategori 1 dan 2 dan mereka akan diasingkan atau dikuarantin di rumah, Kategori 3 di PKRC dan kategori 4 dan 5 di hospital.
“Kekurangan katil di wad ICU, berlaku kerana pesakit kategori 4 dan 5 memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh akibat komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.
“Purata tempoh rawatan pesakit tahap 4 adalah antara 14 hingga 16 hari, manakala tahap 5 antara 19 hingga 26 hari,” katanya.
Beliau berkata, kawalan ketat sempadan negara perlu diteruskan dan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Variant of Concern (VOC) terutama Varian Alfa, Beta dan juga varian paling bahaya, Delta.
“Jumlah pemberian vaksin yang melebihi 300,000 dos sehari berupaya mempercepatkan sasaran imuniti berkelompok.
“Jika jumlah pemberian dos harian kekal tinggi, sasaran vaksinasi 70 hingga 80 peratus populasi mungkin boleh dicapai pada September ini. Kita perlu mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus populasi divaksin untuk mengelak jangkitan yang lebih teruk,” katanya.