KOTA BHARU | Polis Kelantan akan melakukan siasatan dalaman dan memberi kerjasama penuh susulan penahanan dua pegawai polis berhubung kes meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, siasatan dalaman itu dilakukan selari dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Setakat ini, untuk mengambil tindakan tata tertib, kita kena tunggu siasatan SPRM.
“Tindakan juga akan diambil apabila individu terbabit dituduh di mahkamah, buat masa ini kita akan tahan kerja dahulu. Apabila sudah jatuh hukum, baru kita akan gantung kerja dan penamatan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Abdullah menyeru semua polis supaya mengelak perbuatan rasuah dan sentiasa membuat peringatan kepada pegawai serta anggota polis supaya mengelakkan daripada rasuah.