SHAH ALAM | Universiti Teknologi MARA (UITM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajarnya yang meninggal dunia di UITM Cawangan Kedah dan Pahang.
Dalam satu kenyataan media, pihak pengurusan UiTM amat berdukacita dan berharap keluarga mereka diberi kekuatan dan kesabaran.
“Pelajar berkenaan, Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, adalah pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah. Seorang lagi Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang. Semoga Allah SWT. mencucuri rahmat ke atas kedua-duanya.
“UITM sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara ODL (Open Distance Learning),” katanya.
Sehubungan dengan itu, kenyataan itu berkata, pelajar-pelajar yang memerlukan kemudahan internet dan peranti akan dibantu, malah mereka dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.
“Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, pihak UiTM, melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta para pensyarah yang terlibat telah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh-tarikh penting tugasan kepada para pelajar di awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.
“Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin telah pun melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos 2021.
“la dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan telah dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun 2021 lalu,” katanya.
Pada masa yang sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling, UITM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan yang diperlukan oleh pelajar-pelajar dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik Covid-19 ini.
Para pelajar adalah disarankan agar sentiasa berbincang dengan para pensyarah, penasihat akademik atau Ketua Program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian.