PUTRAJAYA | Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berjaya menyelamatkan seorang pekerja warganegara Indonesia daripada menjadi buruh paksa di negara ini.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapat aduan dan maklumat daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.
Sehubungan itu, hasil risikan telah dilakukan oleh JTK ibu pejabat dan negeri Perak dengan kerjasama pasukan Task Force MAPO serta pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari IPD Daerah Taiping.
Operasi menyelamat dilaksanakan pada jam 6.30 pagi 9 Julai berjaya menyelamatkan wanita berusia 36 tahun itu.
“Mangsa dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan bahawa beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah serta dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.
“Mangsa telah diminta untuk membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan dan ayaran tersebut telah selesai dibayar kepada ejen melalui potongan gaji mangsa pada Disember 2017, Januari 2018 dan Februari 2018.
Kenyataan itu berkata, majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja tersebut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah dan dikategorikan sebagai Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI).
Malah, majikan wanita itu juga turut menjadikan isu PATI
sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental.
“Mangsa juga pernah dipukul oleh majikan
dengan menggunakan tangan apabila tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan mangsa.
“Selain itu, mangsa tidak diberikan makanan sekiranya beliau menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal ataupun tidak mahu bekerja lagi dengan majikan terbabit.
“Gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi di mana wang gaji yang telah diserahkan ke tangan mangsa diambil semula oleh majikan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, menerusi siasatan awal, terdapat indikator buruh paksa yang telah dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants – ATIPSOM) 2007.
Sehubungan itu, mangsa yang diselamatkan masih dalam keadaan trauma dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Interim Protection Order
(IPO) oleh Mahkamah Magistret Taiping pada tarikh sama mangsa
diselamatkan.
IPO tersebut sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai 2021 bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK, dan seterusnya dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.
“Operasi menyelamatkan pekerja warga Indonesia ini jelas menunjukkan usaha bersepadu secara berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasaan termasuk JTKSM dalam menangani isu buruh paksa sekaligus menunjukkan bahawa Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.