KOTA BHARU | Sebanyak 2,000 ekor ayam segar diagihkan ke 1,000 buah rumah dalam zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Kurnia Jaya dan Desa Pinggiran Golf.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memperuntukan sebanyak RM48,000 sumbangan kepada DUN untuk tujuan ini.
Katanya, bekalan barangan basah di PKPD pertama dalam DUN Panchor ini adalah pada Jumaat dan Isnin depan.
“Saya dapat maklum, tempahan ikan segar dari jeti pendaratan ikan telah diuruskan untuk agihan Jumaat nanti.
“Saya jangkakan perbelanjaan keseluruhan bantuan tambahan barangan basah ini untuk zon PKPD Taman Kurnia Jaya dan Desa Pinggiran Golf ini sekitar RM80,000.
“Keperluan asas lain telah pun disediakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor mengucapkan terima kasih kepada semua petugas sukarelawan dari Pusat Khidmat DUN yang bertungkus-lumus beberapa hari ini bagi memastikan bekalan barangan basah sampai tepat mengikut jadual.