By Ismail Muhamad
GUA MUSANG | Seramai 400 peneroka di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 1, 2 dan 3 di sini, menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK).
Pemberian suntikan vaksin itu diadakan selama dua hari bermula kelmarin dengan setiap hari membabitkan seramai 200 orang.
Program pemberian vaksin secara bergerak ditempatkan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Paloh 2 di sini, yang mana sebuah bas ekspres MARA Liner Sdn Bhd diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, PPV bergerak itu dilengkapi dengan empat kaunter vaksinasi.
Beliau berkata, KESEDAR turut menggerakkan 20 kenderaan pelbagai jenis milik agensi itu bagi membantu penerima suntikan vaksin Covid 19 khususnya golongan tua dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan ke PPV di daerah ini.
Katanya, penyediaan kenderaan itu di bawah program Freeride@KESEDAR2PPV membabitkan van, kereta dan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu peneroka dan penduduk dalam Wilayah KESEDAR ke PPV di kawasan Paloh dan Chiku 5 di sini.
“KESEDAR sediakan khusus kenderaan untuk mengangkut peserta bagi divaksin.
“Kita tahu kekangan kadang-kadang tak punya kenderaan, jadi kita bermula dengan melancarkan tiga buah di peringkat awal.
“Kita cuba sedaya upaya untuk pastikan masyarakat di Wilayah ini dibantu sepenuhnya,” katanya pada program lawatan dan meninjau proses pemberian vaksin kepada komuniti luar bandar di PKD Paloh 2 di sini, semalam.
Katanya, penyediaan kenderaan itu juga bagi membantu 2,200 peserta dan penduduk di kawasan berkenaan mendapatkan suntikan vaksinasi.