PUTRAJAYA | Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang baharu selepas berkhidmat sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media hari ini.
Tempat Ahmad Nizam kini diambil alih oleh Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan kedua pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 Ogos nanti.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi PETRONAS.
“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di PETRONAS dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19,” kata kenyataan tersebut.
PETRONAS masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500.
Dalam pada itu, Ahmad Nizam masih kekal menjawat jawatan sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC.
“Pengalaman beliau di PETRONAS dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara,” katanya.
Sementara itu, Mohd Bakke yang akan menggantikan Ahmad Nizam pula merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.
“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa PETRONAS melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.