KUALA LUMPUR | “Alhamdulillah, Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri.
Beliau berkata, perkara itu boleh disampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah pada masa akan datang.
“Sama-sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini, dipermudahkan Allah SWT,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, kesepakatan perlu ada dalam menentukan dasar imigresen susulan kepelbagaian penggunaan vaksin COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia perlu bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
Arab Saudi sebelum ini menetapkan hanya jemaah yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan haji.