KUALA LUMPUR | Aplikasi perancang perjalanan, PULSE diperluaskan fungsinya merangkumi perkhimatan Rapid Penang di Seberang Prai, Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.
Sebelum ini, PULSE atau ‘Planning Your Lifestyle Efficiently’ diperkenalkan kepada pengguna perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada 17 Disember tahun lalu.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datin Norlia Noah, berkata dengan fungsi itu, PULSE memudahkan pengguna di Pulau Pinang dan Kuantan termasuk kawasan sekitarnya seperti Bandar Diraja Pekan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengoptimakan masa mereka dengan lebih produktif.
Menurutnya, aplikasi PULSE mempunyai beberapa fungsi penting bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana seperti perancang perjalanan, penjejak waktu ketibaan masa sebenar untuk perkhidmatan bas dan rel (Real-Time Bus and Train ETA), paparan notifikasi atau ‘Push Notifications’ dan kalkulator tambang.
“Ia turut memaparkan peta stesen tren dan hab bas serta tempat menarik di persekitarannya seperti pusat membeli-belah, tempat makan dan santai serta lokasi tarikan pelancong bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan dan aktiviti mereka.
“Sejajar dengan pelan digitalisasi tiga tahun bagi PULSE, ia akan dikembangkan lagi di masa hadapan dengan pelbagai inisatif yang akan diperkenalkan oleh Prasarana sebagai menghargai sokongan para pengguna kami.
“Antara lain, PULSE akan dilengkapi dengan fungsi pembelian atas talian, program kad kesetiaan, promosi dan ganjaran dengan rakan-niaga, ‘plug-in’ bagi akaun media sosial pengguna dan gamifikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penambahbaikan pula, katanya, terutamanya dari segi meningkatkan kepantasan, maklumat tentang status perkhidmatan dan maklumbalas dengan pengguna akan dikongsikan secara progresif supaya PULSE kekal menjadi aplikasi pilihan pelanggan pengangkutan awam kendalian Prasarana.
“Setakat ini PULSE telah dimuat turun lebih 20,000 kali oleh pengguna pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang, yang merangkumi semua perkhidmatan tren dan bas di bawah seliaan Rapid KL termasuk LRT, MRT dan monorel serta bas BRT, GoKL dan Smart Selangor.
“Serentak dengan pelancaran versi terbaru PULSE, pengguna yang memuat turun aplikasi ini berpeluang menyertai kempen promosi yang dinamakan “Mana Oyen?”, bermula dari 23 hingga 30 Julai 2021.
“Tiga penyertaan lengkap dan dengan jawapan yang betul dari setiap lokasi (Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan) akan memenangi hadiah misteri; manakala 50 penyertaan terawal secara keseluruhan akan mendapat Kad My Rapid Touch ‘n Go edisi terhad,” katanya.
Menurutnya, dalam kepesatan perkembangan dunia digital, aplikasi PULSE menjadi wadah terbaik buat Prasarana bukan sahaja dalam penyampaian maklumat yang lebih pantas dan tepat, malah menjadi bukti iltizam syarikat untuk kekal relevan kepada para pelanggan dan orang awam.
“Ia mengangkat penanda aras dalam perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini selaras dengan aspirasi Prasarana untuk menggalakkan lagi orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan meningkatkan peratusan penggunaanya kepada 40 peratus menjelang 2030,” katanya.
Aplikasi PULSE by Prasarana boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play.