PUTRAJAYA | Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi daripada terus berlaku.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara tersebut berlaku sejak awal Jun lagi dan sebarang perkembangan terbaru akan dimaklumkan kepada orang awam oleh PDRM.
Katanya, sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan juga telah ditubuhkan di bawah CITF bagi menyiasat perkara tersebut.
“Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil daripada CITF, PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia.
“Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan “Standby List” telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairy berkata, wujudnya Garis Panduan ini akan memperkemaskan lagi pemantauan di PPV.
Katanya, keupayaan sistem di PPV juga akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin.
“Untuk makluman, terdapat beberapa langkah segera yang diambil oleh PPV apabila menerima laporan kehadiran individu positif COVID-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan melaksanakan ujian COVID-19 ke atas para petugas.
“Saya juga telah mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.
“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan orang ramai yang telah melakukan ujian Covid-19 untuk bertanggungjawab dan tidak hadir ke PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata bagi dakwaan suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput, katanya siasatan awal telah dilakukan.
“Kita mendapati, perkara tersebut tidak benar. Secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama.
“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa. Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat,” katanya.