by Nor Shazleza Shahril
MACHANG | Hasrat dua beradik warga emas yang berusia lebih satu abad untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 tercapai apabila menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, di sini, hari ini.
Munah Yunus, 114, dan adiknya Pah Yunus, 111, dari Kampung Rengas, Labok, ditemani oleh anak mereka tiba di PPV sekitar jam 9.30 pagi.
Kedua-dua beradik itu syukur selepas nama mereka berdua terpilih pada hari yang sama untuk mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan oleh kerajaan bagi melindungi diri dari wabak COVID-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut Siti Mariam Taib, 64, ibunya, Munah begitu teruja mendapatkan suntikan vaksin kerana bimbang dengan keadaan COVID-19 pada ketika ini selain antara golongan warga emas yang berisiko.




“Pada masa sama, ibu juga bersemangat kerana dia dan adiknya sudah berjanji untuk menerima vaksin bersama-sama dan tidak menyangka hasrat mereka dipenuhi setelah dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong.
“Ibu dan adiknya amat akrab sejak kecil memandangkan tidak mempunyai adik beradik yang lain. Alhamdulillah proses menerima suntikan vaksin ini berjalan lancar bermula dari pendaftaran sehinggalah petugas kesihatan datang ke kereta untuk memberi suntikan kepada mereka berdua yang sudah uzur,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di PPV Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong.
Sementara itu, anak kepada Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya sudah lama menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin dan lebih bersemangat apabila diberitahu kakaknya juga disuntik pada hari yang sama.
“Pagi tadi, dia bangun awal untuk bersiap dan menunggu kami menghantarnya ke PPV bagi menerima suntikan dan pada hari ini, ibu juga berpuasa kerana sudah menjadi amalannya sejak di usia muda untuk berpuasa sunat selain dari bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, setelah hampir 10 minit dipantau oleh petugas kesihatan selepas disuntik, ibu tidak mengalami sebarang masalah dan dibenarkan pulang,” katanya.
Hadir sama, ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh.
Sementara itu, Azhar berkata, pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong diadakan selama dua hari bermula hari ini dan juga esok dengan jumlah penerima seramai 704 orang.
“Pada hari ini, seramai 352 penerima suntikan terdiri daripada warga emas, imam dan petugas-petugas masjid serta guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), manakala selebihnya akan menerima suntikan pada hari esok.
“Sehingga kini, sudah 25 peratus penduduk di Pulai Chondong mendapat suntikan vaksin dan pihaknya berharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk di sekitar DUN Pulai Chondong,” katanya.