DUBAI | Sebuah kolam renang terdalam di dunia akan dibuka di Dubai dan bakal menerima kunjungan pelancong dalam masa terdekat.
Kolam sedalam 60 meter itu bernama Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Lokasinya terletak dalam 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.
Kolam renang itu diklasifikasikan sebagai terdalam di dunia oleh Guinness World Records pada 22 Jun lalu, menewaskan pemegang rekod dunia sebelum ini iaitu Deepspot di Poland sedalam 45 meter.
Deep Dive Dubai menawarkan sesi menyelam di dalam air bersuhu 30 darjah celcius serta menjelajah sebuah kota terbengkalai yang tenggelam.
Sebanyak 56 kamera dipasang di sekitar kolam renang bagi memastikan keselamatan penyelam.
Kolam renang itu turut memiliki ruang hiperbarik dengan kapasiti 12 orang ketika kecemasan.
Pelbagai aktiviti lain dapat dilakukan di tempat tumpuan pelancongan ini seperti Scuba Diving dan Freediving. -CNN