LONDON | “Penalti adalah perasaan paling teruk dalam dunia apabila anda tewas,” kata Kapten England, Harry Kane selepas kalah dalam penentuan penalti pada aksi final Euro 2020, pagi tadi.
Lapor AFP, Kane dan Harry Maguire menyempurnakan sepakan panalti untuk England selepas terikat 1-1, namun Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal melakukan perkara sama, sekali gus membuatkan skuad itu kempunan lagi untuk menjulang trofi utama sejak Piala Dunia 1966.
“Sesiapa saja boleh gagal. Penalti adalah penalti.
“Kami sedang melalui proses. Pemain-pemain sudah memberikan apa yang mereka mampu, cuma ia bukan malam kami,” kata Kane.
Luke Shaw meletakkan England di depan seawal minit kedua untuk rekod gol terpantas di final Euro.
Namun England menjadi pasukan kedua terbaik sepanjang permainan sehingga Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan di babak kedua.
Penyerang Tottenham, Kane mengakui England tersilap langkah apabila terlalu berhati-hati selepas mendahului permainan.
“Kami berdepan pasukan yang amat bagus. Kami bermula sempurna, mungkin merosot sedikit pada satu ketika. Mereka mengawal bola sepanjang masa.
“Kami sebenarnya dapat mengawal keadaan apabila mereka tidak banyak mencipta peluang. Mereka mendapat gol hasil situasi bola mati dan selepas itu 50-50.
“Kami menang bersama, kalah bersama. Kami akan belajar dan memperbaikinya. Pemain-pemain akan bangkit di Piala Dunia tahun depan.
“Anda perlu berbangga. Kami mengharungi kejohanan yang hebat,” katanya.
Tamat