by Nor Shazleza Shahril
MACHANG | Peka dengan kesusahan keluarga yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman membuatkan pembekal gas, Nik Mokhtar Md Rashid, 41, tampil menyediakan sebuah foodbank di stor gas miliknya di Kampung BT 23, Labok, di sini.
Nik Mokhtar berkata inisiatif ini bermula sejak dua minggu yang lalu bagi membantu sesiapa sahaja yang terputus bekalan makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan terutamanya di daerah Machang dan sekitarnya.
“Dengan bermodalkan RM1600, saya menyediakan keperluan asas seperti beras, telur, gula dan sardin untuk golongan yang memerlukan bagi meringankan beban terutamanya penduduk kampung yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19 ini.
“Setiap hari sekitar 20 hingga 30 orang datang untuk mengambil barang keperluan tersebut dan stok akan ditambah setiap dua hari sekali,” katanya.
Tambahnya, selepas foodbank tersebut ditubuhkan, pelbagai pihak turut tampil bagi sama-sama menghulurkan sumbangan termasuklah dari segi wang tunai mahupun barang keperluan asas.
“Saya amat mengalu-alukan sumbangan tidak kira dalam bentuk apa jua daripada orang ramai yang ingin turut sama memberikan bantuan bagi membolehkan lebih ramai penduduk yang terjejas ini dapat dibantu sebaik mungkin.
“Kami akan meneruskan usaha murni ini sehingga situasi benar-benar pulih bagi memastikan penduduk- penduduk yang terjejas sebelum ini dapat kembali bekerja seperti biasa.
“Sebelum ini juga, syarikat Niks Trading sudah memulakan inisiatif membantu golongan susah pada Ramadan lalu, melalui sumbangan bakul Ramadan dengan menggunakan modal sendiri sebanyak RM2,000,” katanya.