PUTRAJAYA | Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan tawaran iklan berhubung Permohonan Terbuka Rumah Mampu Milik Serendah RM30,000, Skim Myhome & MyDeposit 2021 serta Bantuan RM60,000 Bina Rumah Atas Tanah Sendiri di bawah Skim Pinjaman Perumahan (SPP) yang sedang tular.
KPKT dalam satu kenyataan berkata, iklan terbabit dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kata kenyataan itu, ianya berikutan terdapat pelbagai aduan dan pertanyaan daripada orang awam berhubung iklan palsu tersebut.
“KPKT ingin menjelaskan bahawa pada masa ini, hanya permohonan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam (PPAM), Perumahan PR1MA dan SPNB sahaja yang dibuka.
“Terdapat juga kekeliruan orang awam berhubung harga tawaran bagi “Program PPR Dimiliki’. Harga jualan yang ditetapkan adalah RM35,000 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit bagi Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan tersebut.
Bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai program dan skim terkini yang ditawarkan oleh KPKT, orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada laman sesawang rasmi KPKT di https://www.kpkt.gov.my dan laman sesawang Jabatan Perumahan Negara di https://ehome.kpkt.gov.my atau https://teduh.kpkt.gov.my.
“KPKT memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan iklan palsu.
“Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati agar tidak terpedaya atau terkeliru dengan sebarang tawaran permohonan yang diklankan.