PUTRAJAYA | Operasi pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi dibenarkan berkuatkuasa esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk memberi kebenaran kepada semua outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi beroperasi.
“(Kebenaran diberikan kepada outlet) yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasaraya besar untuk beroperasi sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 13 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Menteri Kanan Pertahanan itu juga memaklumkan sebanyak 148 operasi disinfeksi telah dilaksanakan di seluruh negara yang merangkumi 55 zon merah, zon jingga (3) dan zon kuning (8) semalam.
Menurutnya, operasi disinfeksi melibatkan 912 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 248 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 156 buah jentera JBPM.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 31,735 operasi disinfeksi merangkumi 157 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.
“Operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan,” katanya.