KOTA BHARU | Seorang pemilik syarikat perunding direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan projek kepada Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah.
Menurut sumber SPRM, lelaki itu ditahan pada jam 8.10 malam tadi ketika hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan sebelum tangkapan dibuat.
“Lelaki itu ditahan untuk siasatan berhubung projek berkaitan skim bekalan air di sebuah daerah di negeri ini yang bernilai RM851,232.60.
“Pemilik syarikat perunding itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB Khamis lalu, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.