PUTRAJAYA | Sarawak sudah memenuhi tiga nilai ambang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuatkuasa pada Rabu ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam satu kenyataan.
Menurutnya, setelah semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti nilai-nilai ambang atau threshold negeri ini, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2.
“(Peralihan) berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan.
“Peralihan fasa PPN bagi negeri Sarawak akan berkuat kuasa mulai 14 Julai,” katanya hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan itu juga berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah menampakkan impak positif di beberapa negeri.
Impak positif membabitkan Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah yang kini telah berjaya melangkah dari Fasa Satu ke Fasa Dua.
“Sidang Khas Majlis MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya.
Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID- 19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.
Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang telah ditetapkan bagi fasa 2 boleh dirujuk di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my