KABUL | Sekurang-kurangnya 40 militan Taliban terbunuh dalam beberapa serangan udara yang dilancarkan Tentera Udara Afghanistan.
Kementerian Pertahanan negara itu, dalam satu kenyataan, mengesahkan siri serangan itu dilancarkan semalam.
Dalam serangan di Helmand, wilayah selatan Afghanistan, 14 militan terbunuh dan dua yang lain cedera selepas pesawat perang menyasarkan militan di daerah Garmser.
“Antara mereka yang terbunuh adalah Mawlawi Hijrat, wakil komander Taliban yang dikenali sebagai Sara Keta atau Unit Merah untuk Garmser.”Selain itu, 20 militan terkorban dan 35 yang lain cedera ketika tentera udara menyasarkan kumpulan Taliban di daerah Dilaram di wilayah barat Nimroz,
“Selain itu, enam militan terbunuh dan lima yang lain cedera selepas tentera udara menggempur kedudukan Taliban di daerah Tagab, wilayah timur Kapisa,” katanya.
Turut dilaporkan, sejumlah besar senjata dan peluru milik militan juga berjaya dimusnahkan dalam serangan itu.
Keganasan semakin memuncak sejak tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mula meninggalkan Afghnaistan.
Bagi meredakan keadaan, pihak keselamatan Afghanistan terus melancarkan serangan bagi menekan puak militan Taliban yang sebelum ini mendakwa berjaya menawan lebih 250 daripada hampir 400 wilayah di negara itu.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan daripada kumpulan militan berhubung serangan udara itu. – AGENSI