KOTA KINABALU | Sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penyeludupan wanita warga Filipina tumpas susulan dua serbuan berasingan di Semporna baru-baru ini.
Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Khamis dan Jumaat lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Semporna dan sebuah rumah atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum, Semporna, dua lelaki dan seorang wanita berjaya dicekup.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, ketiga-tiga suspek termasuk wanita yang dipercayai dalang sindiket ini berusia antara 28 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut, sembilan wanita warga Filipina yang berusia antara 20 hingga 45 tahun berjaya diselamatkan.
“Siasatan mendapati semua mangsa mengaku terpedaya dengan pujukan dan tipu daya seorang wanita warga Filipina yang giat mencari mangsa dalam kalangan warganegara yang sama.
“Kesemua mangsa turut dijanjikan pekerjaan yang berpendapatan lumayan di Timur Tengah terutama Jordan dan Dubai. Malah, setiap mangsa dikenakan bayaran mencecah RM13,000 setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Muhamad Sade berkata, semua suspek sindiket pemerdagangan manusia ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar manakala, mangsa ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Kota Kinabalu.
Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 atas kesalahan menjalankan penyeludupan migran. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Tambah beliau, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 terhadap setiap tahanan turut dilakukan.
Langkah ini bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 sebelum suspek dihantar ke depot Imigresen seiring dengan prosedur standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Beliau juga menyeru orang ramai berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan untuk melaporkan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia
JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti memperdagang dan menyeludup imigran di negeri ini. -UTUSAN ONLINE